Cara-Cara Terbaik Untuk Menggayakan Kardigan

Cara-Cara Terbaik Untuk Menggayakan Kardigan

Out & About

Pemakaian kardigan pada masa kini tidak hanya terhad kepada fungsi untuk menghangatkan tubuh dari suhu yang sejuk. Hal ini boleh dilihat pada evolusi pelbagai fesyen kardigan yang boleh didapati pada hari ini. Kardigan labuh, gaya kimono, bercorak, kosong, warna-warna ceria, dan banyak koleksi yang cantik dan menarik boleh anda miliki sekarang. Anda boleh menggayakan kardigan dengan blaus, gaun, kemeja-T, skirt labuh dan baju kurung.

Lihat juga: Cara Cara Terbaik Untuk Menggayakan Skirt Midi 

Fesyen kardigan muslimah 1

Apakah tarikan kardigan ini?

Sebagai seorang Muslimah, tampil sopan dan menutup aurat itu adalah satu kewajipan. Begitu juga dalam berfesyen, seorang Muslimah disarankan bergaya mengikut syarak dan tidak berlebihan. Fesyen kardigan amat sesuai dalam hal ini kerana ia tidak sempit, tidak mengikut bentuk badan dan kelihatan santai.

Fesyen kardigan muslimah 2

Anda juga boleh tampil menarik mengikut gaya yang anda inginkan dengan menggunakan kardigan. Jika inginkan penampilan yang lebih kasual, butang cardigan boleh dibiarkan terbuka atau anda boleh membelikardigan jenis terbuka (open cardigan). Jika inginkan gaya yang lebih formal, anda boleh membeli kardigan yang mempunyai butang. Terpulang kepada cita rasa anda sekiranya ingin mengenakan semua butang atau hanya butangkan pada bahagian tengah kardigan anda. Selain daripada itu, kardigan juga mempunyai pelbagai jenis potongan sesuai mengikut tubuh badan si pemakai. Terdapat juga stail dan ukuran berbeza yang boleh dipilih mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi gadis dan wanita di luar sana yang mempunyai bentuk badan berisi dan tidak tahu bagaimana untuk tampil menawan dan cantik, anda boleh memulakan perjalanan menjadi seorang Muslimah bergaya dengan mengenakan fesyen kardigan ini. Kini, bahagian tubuh yang berisi boleh disembunyikan untuk nampak lebih bergaya dengan memakai kardigan, yang juga sekaligus menutupi bahagian yang tidak mahu dipamerkan untuk pandangan orang lain.

Fesyen kardigan muslimah 3

Di samping itu, pemakaian kardigan juga secara tidak langsung boleh melindungi pakaian yang dipakai daripada kekotoran seperti habuk dan lain-lain. Ia juga boleh digayakan untuk melindungi baju yang sudah lusuh. Sekiranya anda seorang yang sangat sayangkan baju-baju anda meskipun sudah lusuh dan sayang nak membuangnya, bolehlah anda menutupinya hanya dengan menggayakan kardigan pilihan anda. Penyelesaian 2 dalam 1 yang sangat kreatif bukan? Anda boleh tampil bergaya dan dalam masa yang sama dapat menyimpan pakaian kesayangan anda.

Tarikan-tarikan hebat kardigan ini sudah pasti menjadi satu penyelesaian hebat dan bergaya bagi para fesyenista Muslimah yang ingin tampil bergaya, namun masih berpaksikan pada hukum dan adat. Justeru itu, pastikan anda mendapatkan sehelai atau berhelai-helai kardigan dan menjadikannya sebagai satu koleksi fesyen Muslimah anda yang seterusnya.

Ilham gaya dari kardigan

Penggayaan kardigan yang versatil dari acara kasual sehingga ke majlis-majlis istimewa turut menjadi satu faktor kegilaan fesyenista Muslimah pada hari ini. Anda boleh membayangkan diri anda bersiar-siar di taman atau keluar berhibur bersama-sama rakan kesayangan hanya dengan mengenakan kardigan ringkas yang kosong ataupun yang bercorak.

Fesyen kardigan muslimah 4

Satu tips untuk anda: sekiranya pakaian yang anda kenakan di dalam sudah mempunyai corak, gunakan kardigan yang mempunyai corak dengan warna yang berpadanan mengikut warna corak pakaian anda dan juga sebaliknya. Hal ini penting agar fesyen keseluruhan anda tidak kelihatan serabut dan penuh.

Namun, sekiranya pakaian dan kardigan anda bebas corak, dan anda ingin menggunakan kardigan kosong dengan pakaian kosong yang berwarna, tiada masalah kerana trend ‘color block’ pada masa kini tidak menjadikannya pelik berbanding waktu dahulu. Namun perlu diingatkan juga agar anda memilih padanan warna yang menyedapkan mata memandang dan menyerlahkan lagi keanggunan fesyen anda.

Fesyen kardigan muslimah 5

Penggayaan kardigan dengan skirt labuh sudah tidak asing lagi. Anda boleh melihat ramai wanita dan gadis yang menggayakannya di mana jua anda pergi. Tempat membeli-belah, pejabat, kuliah, stesen bas? Sebut sahaja nama-nama tempat yang lain, anda pasti dapat menjumpai mereka yang tampil dengan gaya ini.

Gabungan kedua busana ini sangat menepati tuntutan syarak sebagai seorang Muslimah. Bukan sahaja menyerlahkan kesantunan gadis ataupun wanita yang memakainya, malah menyerlahkan lagi keindahan dan kejelitaannya. Apabila menggayakannya dengan skirt labuh, terpulang kepada anda sama ada memilih kardigan yang labuh ataupun yang pendek. Pemakaian skirt labuh itu sendiri sudah membantu dalam menaikkan keayuan anda. Gaya kardigan yang menarik dan santun ini juga amat sesuai digayakan sekiranya anda keluar bertemu teman-teman, pergi ke pejabat ataupun ke kelas.

Fesyen kardigan muslimah 6

Anda seorang penggemar gaun ‘Maxi’ ataupun lebih dikenali sebagai ‘Maxi Dress’? Ingin memakainya namun bahagian dada yang ketat dan tidak berlengan menghalang anda dari mencubanya? Anda tidak perlu lagi berasa sedih dan kecewa, kerana anda kini boleh memakainya bersama kardigan pilihan untuk tampil cantik, menawan dan ayu dengan ‘maxi dress’ bersama rakan-rakan anda.

Fesyen kardigan muslimah 7

Lebih hebat lagi, anda juga boleh menghadiri majlis-majlis istimewa dengan gaya ini! Bagi menyerlahkan lagi sisi anggun dan kelainan anda yang tersendiri ketika menghadiri majlis istimewa ini, gunakan tali pinggang di luar kardigan sebagai satu aksesori tambahan. Anda pasti berjaya menarik banyak mata-mata dengan keunikan dan keanggunan gaya anda itu.

 

Share dari: https://www.zolace.com/blog/fesyen-kardigan-muslimah-ringkas-versatil-menarik-dan-bergaya/