Produk Penjagaan Rambut Tidak Membantu Memulihkan Rambut Rosak ? Cuba Bahan-Bahan Ini Dan Kamu Mungkin Menyukai Hasilnya!

Produk Penjagaan Rambut Tidak Membantu Memulihkan Rambut Rosak ? Cuba Bahan-Bahan Ini Dan Kamu Mungkin Menyukai Hasilnya!

Kecantikan

Rambut gugur, hujung bercabang, rambut kering dan kelemumur bukanlah masalah rambut yang baru bagi sesetengah orang. Dengan pelbagai kemunculan produk yang ada di pasaran pasti tidak menjadi masalah untuk merawat rambut kita. Namun begitu tidak semua produk rambut yang ada di pasaran sesuai untuk rambut kita dan tidak semua produk memberikan hasil yang diingini. Kadangkala disebabkan terlalu banyak produk yang dicuba menjadikan rambut kita semakin rosak. Apa kata jika kita berhenti menggunakan produk yang mengandungi bahan kimia dan cuba merawat rambut dengan menggunakan bahan-bahan semulajadi yang mudah didapati di dapur rumah kita.

Jadi entri Ohfesyen pada kali ini akan berkongsi beberapa bahan “home remedy” yang boleh digunakan untuk merawat masalah rambut. Selamat mencuba!

Rawat Rambut Rosak Dengan Avokado

Avokado kaya dengan vitamin, asid lemak penting dan mineral yang dapat membantu mengembalikan kilauan pada rambut kering.

Cara : Lenyekken avokado yang telah masak dan dibuang biji dengan sebiji telur dan sapukan pada rambut yang basah. Biarkan sekurang-kurangnya 20 minit kemudian bilas beberapa kali. Ulang sekali seminggu untuk rambut rosak dan sebulan sekali untuk rambut yang lebih sihat.

Urut Dengan Mentega

Rawat rambut kering dan rapuh dengan kuantiti mentega yang sedikit untuk jadikannya lebih berkilat.

Cara : Urutkan sedikit mentega pada rambut yang kering kemudian tutup rambut menggunakan topi mandian selama lebih kurang 30 minit. Syampu seperti biasa dan bilas kesemua mentega yang ada pada rambut.

Perapikan Dengan Minyak Zaitun

Kembalikan kelembapan kepada rambut kering dengan menggunakan minyak zaitun.

Cara : Panaskan setengah cawan minyak zaitun (jangan biarkan sampai mendidih) dan gosokkan pada rambut. Tutup rambut dengan menggunakan beg plastik dan balut kesemuanya dengan tuala. Biarkan selama 45 minit kemudian syampu dan bilas hingga bersih.

Bilas Dengan Teh

Bukan sahaja rawatan untuk sakit tekak tetapi teh boleh digunakan untuk mengembalikan kilauan semulajadi pada rambut kering. Teh juga boleh meningkatkan warna rambut, jadi pastikan untuk menggunakan teh yang sesuai dengan warna rambut.

Cara : Gunakan teh hangat tanpa gula (dibancuh segar atau segera) sebagai bilasan akhir selepas syampu.

Cuka Epal “Hair Mask”

Rawatan wajib setiap orang di rumah untuk merawat rambut rosak.

Cara : Campurkan 1 sudu teh cuka epal dengan 2 sudu makan minyak zaitun dan 3 biji putih telur. Gosokkan pada rambut yang kering. Biarkan rambut tertutup selama 30 minit dengan menggunakan plastik atau topi mandian. Kemudian syampu dan bilas.

Buat “Syampu Telur Dadar”

Rawatan ini dapat meningkatkan protein dalam rambut.

Cara : Campurkan sebiji telur dengan sedikit syampu kemudian sapukan pada rambut rosak untuk 5 minit. Bilas bersih.

Rawat Dengan Minyak Botani

Boleh didapati di kedai makanan kesihatan, minyak zaitun, minyak jojoba dan minyak badam manis adalah bahan yang sangat baik untuk rambut rosak. Jika rambut jenis yang tebal, minyak kelapa adalah yang terbaik.

Cara : Lembapkan rambut dan sapukan sedikit minyak botani sehingga melitupi keseluruhan rambut. Tutupkan rambut dengan topi mandian dan balut dengan tuala suam selama 30 minit. Kemudian bilas dan syampu rambut seperti biasa.

Cuba Minyak Cendana

Rawatan segera untuk rambut kering dan rapuh

Cara : Campurkan beberapa titis minyak cendana dengan beberapa titis minyak zaitun atau jojoba. Gosokkan campuran tadi pada kedua telapak tangan dan dengan lembut sapukan pada hujung rambut yang kering.

Perapikan Rambut Secara Semulajadi Ketika Berenang

Sebelum ke pantai atau selepas berenang, lindungi rambut daripada element atau kimia yang merosakkan rambut.

Cara : Bilas rambut dengan 1/4 cawan cuka epal dicampur dengan 3/4 cawan air. Kemudian diikuti dengan perapi rambut.

Balut Rambut Basah

Daripada menggosok rambut selepas mencucinya, apa kata jika rambut yang basah dibalut dengan tuala dan biarkan tuala tersebut menyerap lembapan rambut buat beberapa minit. Ini akan membantu melindungi rambut daripada hujung bercabang.

Gunakan Humidifier Pada Waktu Malam

Cuaca yang panas di dalam rumah berkemungkinan memerangkap udara yang kering dan itu boleh mengeringkan lagi rambut. Gunakan humidifier untuk mengembalikan kelembapan udara di dalam rumah dan seterusnya akan membantu mengelakkan rambut terus kering dan rosak.

Biarkan Rambut Terlepas

Jika kebiasaannya kamu mengikat rambut, cuba untuk lepaskan untuk beberapa jam sehari untuk memberikan rambut anda masa berehat. Elakkan juga untuk tidak menarik rambut dengan ketat dan elakkan tidur dengan menggunakan sebarang perhiasan rambut termasuklah getah rambut.

Makan Omega-3

Ambil 1 hingga 3 biji kapsul minyak borage 250-miligram, minyak evening primrose atau minyak flaxseed 1 hingga 3 kali sehari. Kesemua ini kaya dengan asid lemak omega-3 seperti asid gamma-linolenik yang bagus untuk mengekalkan kelembapan rambut dan juga kuku.