Rekaan Eksklusif Telekung Hantarannya Telah Membuatkan Wanita Ini Menempatkan Diri Dalam Dunia Perniagaan Muslimah

Rekaan Eksklusif Telekung Hantarannya Telah Membuatkan Wanita Ini Menempatkan Diri Dalam Dunia Perniagaan Muslimah

Out & About

Siapa sangka telekung yang direka khas untuk hantaran ketika majlis perkahwinannya telah menjadi titik permulaan bagi wanita ini menceburkan diri dalam dunia perniagaan telekung. Indriani Binti Zulfan, 37, berasal dari Indonesia dan telah berkahwin dengan seorang warganegara Malaysia telah memulakan perniagaan telekung di Malaysia sejak tahun 2015 lagi.

 

Oleh kerana ramai yang bertanyakan tentang rekaan telekung hantarannya, Indriani yang juga seorang setiausaha sebelum beliau mengambil keputusan untuk berhenti dan meninggalkan kerjaya setiausahanya itu telah membuat keputusan untuk mengeluarkan produk telekungnya sendiri iaitu Telekung Kadzafashion.

 

Lahirnya Jenama Telekung Kadzafashion

Kebanyakan telekung di surau awam yang berkualiti rendah terutama di pusat membeli-belah telah membuatkan Indriani ingin memulakan perniagaan telekung ini. Material kain yang digunakan juga sesetengahnya nipis dan jarang sehingga boleh menampakkan aurat. Sesetengahnya juga tidak selesa untuk dipakai kerana berbau dan menyebabkan gatal pada kulit dan alahan.

 

Bagi Indriani, corak dan warna telekung sedikit sebanyak mempengaruhi semangat untuk melakukan ibadah, namun telekung yang disediakan di tempat awam mempunyai corak dan warna yang kurang menarik dan kusam. Hal ini membuatkan Indriani merasa perlunya beliau mengeluarkan produk telekung yang lebih menarik.

 

Disebalik Nama KADZAFASHION

 

 

Kadza membawa maksud sesuatu yang baik dalam bahasa arab. Nama Kadza diperolehi daripada seorang ustaz yang bernama Ustaz Ibnu Abdul Barry, Indriani. Kemudian beliau dan suami menambahkan perkataan fashion dibelakang Kadza dan terbentuklah satu nama, Kadzafashion iaitu fesyen yang baik. Ini bersesuaian dengan kewajipan muslim yang menggunakan telekung untuk menunaikan solat.

 

Perkembangan Jenama Telekung Kadzafashion

 

Pada awalnya, Indriani kerap berulang-alik Malaysia dan Indonesia untuk mendapatkan kain bagi penghasilan produknya, namun kini segala urusan itu hanya dilakukan secara dalam talian. Ini kerana beliau mempunyai rumah jahit sendiri dan pekerja seramai 8 orang di Indonesia yang bertindak sebagai satu pasukan. Mereka bertanggungjawab dalam mereka corak, menghasilkan produk dan menguruskan penghantaran produk ke Malaysia. Di Malaysia hanya tertumpu pada aktiviti dalam talian seperti proses pengambilan tempahan dari pelanggan dan proses pembungkusan serta penghantaran kepada pelanggan. Setakat ini, Kadzafashion hanya berurusan secara dalam talian.

 

 

Koleksi telekung yang dikeluarkan Kadzafashion dalam satu produksi adalah sebanyak 40 sehingga 50 corak, setiap corak hanya 25 helai sahaja. Jika mereka kehabisan stok sebelum tempoh satu bulan, mereka tidak akan menambah stok koleksi tersebut tetapi mereka akan terus mengeluarkan koleksi telekung yang baharu. Hal ini kerana, kilang mereka hanya mengeluarkan corak dan rekaan mengikut jumlah yang telah ditetapkan pada satu masa.

 

 

Anggaran jumlah jualan bagi produk telekung Kadzafashion bergantung pada musim. Kebiasaannya, jumlah jualan yang tinggi adalah pada musim perayaan dan bulan Ramadhan dengan jumlah jualan mencecah hingga beratus-ratus helai telekung. Namun pada musim kebiasaan, jumlah jualan hanya mencecah hampir 100 helai telekung sebulan.

 

 

Pemasaran telekung Kadzafashion hanya tertumpu secara dalam talian dengan penggunaan Google Ads dan Facebook Ads. Teknologi ini banyak membantu mereka mendapatkan lebih ramai pelanggan dan seterusnya menaikkan jualan. Menurut Indriani lagi, memandangkan harga barangan semakin mahal, kaedah Google Organik ini membantu mereka dalam mengurangkan kos pemasaran dan boleh menarik lebih ramai pelanggan.

Namun begitu, Kadzafashion sudah mempunyai ramai ejen di setiap negeri dan juga ejen diluar negara. Ejen-ejen ini juga banyak membantu dalam menaikkan nama Kadzafashion agar lebih dikenali ramai.

 

Cabaran Kadzafashion

Pada awal perniagaan Kadzafahion, Indriani berdepan cabaran dalam penghasilan saiz telekung. Telekung yang dikeluarkan mempunyai saiz yang berbeza iaitu S, M dan L, namun oleh kerana penghasilan telekung mengikut saiz mempunyai masalah terutamanya ukuran pada bahagian muka, beliau membuat keputusan untuk mengeluarkan telekung secara Free-Size sahaja.

 

 

Bagi Indriani, cabaran terbesar adalah dalam pemilihan material kain yang sesuai. Material kain hendaklah sentiasa terkini dan terjamin kualitinya serta bersesuaian dengan kehendak pelanggan. Kebiasaannya, material yang menjadi pilihan adalah lembut, tidak panas dan tidak nipis. 3 jenis material yang menjadi pilihan dalam penghasilan telekung Kadzafashion adalah Japanese Cotton, Rayyan Cotton dan Chiffon.

 

Selain itu, pemilihan corak telekung juga adalah sebahagian dari cabaran yang perlu dihadapi dimana mereka perlu sentiasa mengubah corak mengikut trend dan peredaran masa. Sebagai contoh, apabila satu koleksi corak telah habis dijual, Indriani perlu mencari atau mereka corak yang lain. Ini kerana kilang tidak akan mengeluarkan corak yang sama berulang kali. Selain itu, jenis kain Japanese Cotton pula kebiasaannya mempunyai corak yang penuh dan ini menjadikan proses pemilihan corak lebih sukar.

 

 

Cabaran lain bagi Indriani adalah ketika beliau mengeluarkan telekung suai padan ibu dan anak dimana ianya agak sukar untuk memadankan corak yang sama. Kadangkala Indriani hanya mendapat corak yang berbeza untuk disuai padan. Telekung yang dibuat pula adalah secara custom-made dan ada juga corak yang dikeluarkan dari kilang. Tetapi pengeluaran telekung yang paling utama adalah telekung untuk golongan dewasa.

 

 

Kadzafashion Tetap Menjadi Pilihan

Telekung Kadzafashion mempunyai keistimewaannya tersendiri yang tiada pada jenama lain di pasaran iaitu dari segi corak, ukuran dan material kain yang digunakan. Menurut Indriani, setakat ini masih belum ada mana-mana telekung di pasaran yang mempunyai corak dan material kain yang digunakan dibahagian muka yang sama dengan telekung Kadzafashion. Jenis materialnya yang elastik dan boleh diubah merupakan keunikan telekung Kadzafashion dan menjadikannya dapat bertahan di pasaran. Indriani akan memastikan kualiti produk yang dihasilkan sentiasa terjamin dan memberi keselesaan kepada pengguna.

 

 

Pelanggan sasaran pula adalah tertumpu kepada dalam talian sahaja dengan bantuan Google Ads dan Facebook Ads. Cara ini dapat menarik lebih ramai lagi pelanggan untuk Kadzafashion.

Selain itu, Indriani juga mempunyai perancangan yang sedang diusahakan untuk memberi nama bagi setiap koleksi produk yang dikeluarkan agar ianya memberi kesan yang lebih baik untuk produk beliau.

 

Kadzafashion Dalam 5 Tahun Akan Datang

 

Indriani ingin Kadzafashion lebih dikenali terutama di peringkat antarabangsa. Walaupun jualan telekung Kadzafashion sudah menembusi pasaran antarabangsa seperti Dubai, Brunei, London dan United Kingdom tetapi Indriani mahukan produknya terus berkembang dan dikenali di seluruh dunia. Selain itu, pastilah impian untuk membuka sebuah kedai atau butik bukan sahaja di dalam negara malahan di luar negara.

 

Sepatah Dua Kata Buat Newbie Dalam Bidang Perniagaan

Bagi Indriani, perkara paling utama untuk seseorang itu melibatkan diri dalam perniagaan mestilah sentiasa fokus dan konsisten dalam apa jua yang dilakukan. Selain itu, perlulah menjadi seorang yang kreatif untuk mengembangkan lagi produk yang dihasilkan.