Kuala Lumpur 24 November 2016 PERTUNJUKKAN Fesyen dari koleksi

Malah, sukar menidakkan andaian kemunculannya sudah tentu sedikit sebanyak akan dipengaruhi dengan rekaan-rekaan yang mahu lari dari busana Muslimah konvensional, untuk seiring dengan trend pasaran.

Namun, penampilan sulung jenama itu dalam peragaan sempena KL Fashion Night baru-baru ini, menangkis persepsi itu.

Ini kerana, Nur Aishah terbukti tampil dengan rekaan yang benar-benar memegang kepada prinsip busana patuh syariah sepenuhnya, iaitu menutup aurat, longgar, fabrik tebal dan tidak melekat pada tubuh, serta penggunaan warna yang tidak terlalu menonjol.

Jika jenama lain mahu menyerlahkan impak glamor kepada si pemakai, Nur Aishah selesa mengetengahkan idea yang menongkah arus, menutup aurat tetapi masih kreatif, praktikal, komersial dan paling penting boleh dibawa bersolat.

Dalam konteks fesyen Muslimah di Malaysia, kemunculan dan perkembangan fesyen yang cukup pesat memang boleh dibanggakan dan menjadi alternatif terbaik kepada wanita Islam yang ingin menutup aurat mereka dengan penuh gaya.

Namun, masih ada pereka yang kononnya mengetengahkan rekaan Muslimah, masih mengabaikan garis panduan syarak sehingga tidak memberi makna sopan yang tepat.

Nur Aishah mahu mengubah persepsi fesyen Muslimah dalam konteks yang lebih teliti dengan memperluas perspektif 
minda bahawa pakaian bukan saja bercirikan Islam tetapi universal.

Khimar daripada warna lembut jadi pilihan.

Sebagai permulaan, jenama ini menampilkan tujuh rekaan merangkumi koleksi telekung, pakaian untuk umrah, abaya, khimar (sut tudung labuh sedondon dengan dres panjang), serta pant suit dengan mengekalkan ciri-ciri Muslimah kontemporari, sekali gus memberi nafas baharu pada setiap rekaan.

Melihat kepada sambutan terhadap abaya dan khimar yang mula menarik perhatian Muslimah di negara ini, Nur Aishah tampil dengan rekaan yang tersendiri apabila mengetengahkan konsep kontemporari dengan pilihan warna-warna pastel bagi menyerlahkan sisi feminin si pemakai.

Tidak seperti abaya Dubai yang mana setiap satu direka dengan saiz besar, rekaan abaya Nur Aishah direka mengikut saiz wanita Malaysia dan penggunaan fabrik yang lebih berat mengelakkan busana melekat pada badan dan mengikut bentuk badan.

-

Setiap rekaan yang dihasilkan mengambil kira dari semua aspek seperti material, konsep, dan keselesaan agar setiap pelanggan berpuas hati dan dapat merasakan ciri-ciri eksklusif pada rekaan.

Material dan fabrik yang digunakan adalah daripada jenis yang berkualiti tinggi, yang diimport dari negara-negara pengeluar fabrik berkualiti tinggi seperti China, Turki, dan Jepun, bagi memastikan rekaan yang dihasilkan menepati syariat yang digariskan serta selesa digayakan mengikut cuaca di Malaysia.

-

Koleksi 2017 ini bermula pada harga RM39 sehingga RM250, setiap rekaan boleh didapati secara online di Instagram, @nuraishahgallery atau butik yang terletak di Bangi Sentral.