Tips Kekal Sihat Dan Bertenaga Sepanjang Bulan Ramadhan

Tips Kekal Sihat Dan Bertenaga Sepanjang Bulan Ramadhan

Out & About

Salam Ramadhan Al-Mubarak! Akhirnya bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam, bulan yang penuh barakah, Bulan Ramadhan telah tiba. Bulan dimana kita diberi peluang untuk berlumba-lumba membuat kebaikan dan mengumpul pahala. Namun begitu, mungkin ada diantara kita yang berasa lemah dan kurang bertenaga kerana berpuasa di siang hari dan menjadikannya sebagai alasan untuk tidak melakukan perkara kebaikan dan ibadah seperti yang dituntut. Jadi Ohfesyen akan kongsikan tips untuk kekal segar dan bertenaga sepanjang berpuasa ini yang boleh semua amalkan.

#1 Jangan tinggalkan sahur

Sahur adalah perkara yang paling penting ketika berpuasa dan disunatkan untuk kita melewatkan waktu bersahur. Sekurang-kurangnya kita bersahur dengan segelas susu dan buah kurma. Dengan bersahur, kita dapat mengekalkan tahap tenaga sepanjang hari.

#2 Makan makanan dengan nutrisi seimbang

Ketika bersahur, ambil makanan yang mudah dicerna dan diserap yang kaya dengan serat seperti roti gandum, nasi, pasta, kentang dan bijiran gandum yang akan memberikan kamu tenaga yang dapat bertahan selama berjam-jam. Ambil juga bersama makanan yang kaya dengan protein seperti susu dan produk tenusu yang akan membuatkan kamu berasa kenyang untuk jangka masa yang lama.

Ketika berbuka, mulakan dengan makan beberapa biji buah kurma. Minum segelas jus segar dan semangkuk sup. Buah kurma, jus segar dan sup adalah sumber karbohidrat yang baik yang dapat membantu mengembalikan tahap glukosa dalam darah yang rendah kembali normal. Cecair seperti jus dan sup juga dapat membantu mengekalkan keseimbangan cecair dan elektrolit dalam badan serta menambah semula segala yang hilang pada siang hari. Makan sumber karbohidrat kompleks, protein dari daging, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk mengembalikan tenaga.

#3 Makan dengan perlahan

Mulakan Iftar dengan juadah yang ringan dahulu seperti buah kuma, kuih-muih atau buah-buahan dan makanan berat kemudian. Dengan ini kamu akan lebih berhati-hati ketika makan makanan berat ketika iftar dan dapat mengelakkan daripada terlebih kenyang. Kunyah makanan dengan cermat sehingga hancur sebelum menelannya seperti yang disunatkan. Ini dapat mengelakkan kita daripada makan berlebihan dan akan berasa kenyang dengan makanan yang sedikit.

#4 Kekal terhidrat

Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari. Makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar kerana ia kaya dengan air dan serat. Ia kekal didalam usus untuk jangka masa yang lama dan dapat mengurangkan rasa haus. Elakkan untuk minum dalam kuantiti yang banyak sekali gus ketika makan.

#5 Hadkan minuman berkafein

Hadkan pengambilan minuman berkafein seperti teh dan kopi ketika bersahur dan berbuka. Pengambilan kafein dapat menggalakkan kebergantungan kamu terhadap kafein selama sebulan dan mengganggu tidur serta berpotensi untuk kamu mendapat sakit kepala pada hari berikutnya. Jika kamu berhadapan dengan masalah dehidrasi, cuba minuman penghidratan semula dan perbanyakkan minum air setelah berbuka puasa.

#6 Perbaiki pernafasan kamu

Tiga peraturan yang paling penting ialah :

1.Bernafas melalui hidung

2.Bernafas dengan mendalam (gunakan diafragma)

3.Bernafas lebih perlahan

Kualiti oksigen yang kita masukkan ke dalam sistem badan kita dan keupayaan kita untuk mengeluarkan karbon dioksida dari sistem kita adalah penting untuk sel-sel kita kekal sihat dan hidup lebih lama. Jika kita bernafas dengan kecil, kurang oksigen akan mencapai sel, otak dan jantung dan akan mengakibatkan kesulitan menjalankan fungsinya pada tahap yang optimum seterusnya menyebabkan kita mengalami keletihan dan keadaan tenga yang rendah.

#7 Berjalan selepas Iftar

Sebelum kamu keletihan selepas Iftar, cuba berjalan-jalan di kawasan berdekatan blok atau rumah kamu. Perubahan persekitaran dan pendedahan kepada udara segar dapat menyegarkan kamu dan membangunkan kamu dari mengantuk dan keletihan untuk terus beribadah.

#8 Dapatkan rehat yang secukupnya

Tidur secukupnya sekurang-kurangnya 8 jam. Jika tidak dapat tidur 8 jam sekali gus pada waktu malam, cukupkan tidur 8 jam pada waktu malam dan tengah hari. Rehat sebentar selepas menunaikan solat pada waktu siang atau lelapkan mata selama 10-15 minit untuk mengembalikan tenaga.

#9 Bersenam

Ianya adalah cara terpantas untuk badan kita bernafas lebih mendalam. Jika senaman dilakukan dengan betul-walaupun hanya berjalan pantas, ia akan memberikan kamu tenaga yang lebih berbanding meletihkan kamu. Masukkan beberapa senaman ringan dalam rutin Ramadhan kamu untuk meningkatkan tahap tenaga sepanjang hari berpuasa.

#10 Elakkan berada di luar ketika matahari terik

Elakkan berada diluar antara pukul 10pagi hingga 2petang, dimana pancaran matahari pada tahap maksimanya. Ini dapat mengelakkan kamu dari dehidrasi dengan kadar yang drastik.

Love, Shahirah Jasman

Sumber : Tallypress