Apa Beza Serum & Essence? Mana Yang Perlu Pakai Dulu?

Tak confuse dah lepas ni. Hello healthy skin!

 

 

 

 

Tak dinafikan trend Korean beauty (K-beauty) sangat popular dan menjadi obsesi dalam kalangan wanita Malaysia, tak kira dari golongan remaja sehingga dewasa. Lebih-lebih lagi, bagi peminat-peminat K-pop dan drama Korea. Mereka sanggup melabur wang yang banyak dalam produk kecantikan untuk mendapatkan muka yang ‘natural’ dan ‘flawless’ seperti yang dimiliki oleh idola mereka.

 

Maka tidak hairanlah, wujudnya sehingga 7 ke 10 langkah penjagaan kulit yang sangat menitikberatkan segala aspek kecantikan untuk mendapatkan kulit muka sebegitu. Dalam rutin penjagaan kulit muka Korea, penggunaan serum atau essence boleh dikatakan wajib untuk memastikan kulit mereka sihat dan sentiasa nampak ‘flawless’ dan ‘glowing’. Jadi apa perbezaan antara serum dan essence?

 

Apa Beza Serum & Essence

 

Tujuan Penggunaan

 

Serum – sejenis cecair dalam bentuk minyak atau gel atau krim yang fokus dalam merawat masalah kulit yang lebih spesifik dan mendalam seperti penuaan (aging), kekusaman (dullness) atau kulit kering.

Essence – lebih umum dan bertujuan untuk menambah ‘extra’ hidrasi pada kulit sebelum penggunaan serum dan pelembap.  Walaupun begitu, sesetengah essence yang mahal mempunyai pelbagai kebaikan seperti mencerahkan, melembapkan dan merawat dalam satu produk sahaja.  

 

 

Kandungan Bahan Aktif 

Foto – twitter.com

 

Bahan utama yang digunakan di dalam serum adalah lebih sedikit berbanding essence dan produk penjagaan muka yang lain. Walaupun begitu, jumlah peratusan bahan aktif yang terkandung di dalam serum boleh mencecah hingga 15% atau lebih, bergantung kepada jenis bahan dan tujuan penggunaan. Tetapi, kandungan bahan aktif yang tinggi boleh jadi agak kasar pada kulit, menyebabkan kegatalan serta kemerah-merahan. Sekiranya perubahan itu berlaku, gunakan produk lebih sedikit daripada kaedah yang disyorkan. Contohnya dari kegunaan dua pam, mulakan dengan satu pam.

 

Tekstur

Tekstur Essence

 

Tekstur Serum

 

Jika kamu adalah pengguna tegar serum dan essence, kamu akan perasan tekstur serum adalah sedikit pekat berbanding essence. Kadangkala tekstur essence seperti air. Ini adalah kerana kandungan serum dipenuhi dengan bahan aktif dan mengandungi kurang air berbanding essence di mana essence lebih tertumpu untuk memberikan hidrasi dan dijadikan asas untuk memudahkan penyerapan serum dan pelembap ke dalam kulit.  

 

Turutan Penggunaan

Memandangkan tekstur serum adalah lebih pekat daripada essence, maka disyorkan untuk menggunakan essence sebelum serum manakala serum digunakan selepas essense dan sebelum pelembap. Asasnya, langkah ini ditetapkan mengikut kelikatan atau kepekatan produk yang digunakan dalam langkah penjagaan muka yang bermula dari cair ke pekat. Apa kata save je gambar dekat bawah untuk lebih ingat dan faham.

 

 

Langkah-langkah ini sangat penting untuk memastikan produk yang lebih ringan seperti essence atau toner dapat diserap terlebih dahulu ke dalam kulit diikuti dengan produk yang lebih pekat seperti serum dan pelembap untuk mengunci segala kebaikan essence dan toner yang telah digunakan sebelumnya. Baca artikel ini untuk lebih info okay?

 

Kuantiti 

 

Serum – Kalau kamu perasan, serum hanya dikomersialkan dalam botol yang kecil sebanyak 10-50ml sahaja kerana kunci dalam mengaplikasikan serum adalah dengan menggunakan kuantiti yang sedikit sekecil saiz sebuah kacang pea oleh kerana tekstur serum adalah pekat dan mengandungi banyak bahan aktif. Walaupun dengan menggunakan kuantiti yang sedikit, ia terbukti efektif dapat menembusi ke lapisan kulit yang lebih dalam dan dapat fokus pada kawasan yang bermasalah.

Essence – Tidak seperti essence. Essence pula perlu digunakan dengan kuantiti yang agak banyak kerana teksturnya lebih cair dan mengandungi peratusan bahan aktif yang lebih sedikit daripada serum.  

 

Harga 

 

Memandangkan produk-produk ini menggunakan bahan aktif yang agak banyak daripada produk penjagaan kulit yang lain, semestinya kos pembuatan produk juga memakan jumlah yang besar. Berbanding essence, harga serum adalah lebih mahal kerana kandungan bahan aktif dalam serum lebih banyak. Selain mengambil kira rangkaian jenama dan teknologi pembuatan produk, jenis pembungkusan turut menyumbang kepada kos. Kebanyakannya, serum dibotolkan dalam botol kaca atau plastik dengan ‘dispenser’ yang unik seperti ‘pump’ atau ‘dropper’ manakala botol essence lebih menyerupai botol toner dan lebih mudah digunakan.

 

 

Walaubagaimanapun, penggunaan serum dan essence adalah tidak wajib. Ianya bergantung kepada tahap kewangan dan masalah kulit masing-masing. Sesetengah orang, kulit mereka boleh menerima kedua-dua produk tetapi ada juga yang hanya boleh menerima salah satu produk sahaja. Dan sebab itulah kamu (dan juga saya) perlu selalu ‘try and error’.

 

Lain kulit lain keperluan dan reaksinya. Terutamanya mereka yang berkulit sensitif. Dan kadangkala, dengan hanya menggunakan 3 atau 4 produk penjagaan muka yang utama seperti pencuci muka, toner, pelembap dan pelindung matahari (sunblock) sahaja sudah memadai. Maka, jangan hanya bertuhankan nafsu semata-mata untuk mengikuti trend terkini tetapi lihat juga kepada keperluan dan kepentingan yang bakal kamu perolehi untuk jangka masa yang panjang.  Consistency is key and never give up okay?

 

How To Apply Essence & Serum Correctly?

 

 

 

Love, Ruzanna Zulkifli.

 

 

 

 

 

 

 

POST A COMMENT

Click to access the login or register cheese