Supplemen-Kecantikan-Sebenarnya-Perlu-Atau-Tidak-?-9

Supplemen Kecantikan, Sebenarnya Perlu Atau Tidak?

They say, you are what you eat

 

 

 

 

Tahukah kamu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat satu trend tentang supplemen atau makanan tambahan yang fokus kepada penjagaan kecantikan yang bermula dari dalam (beauty from within) yang dipanggil nutrikosmetik.

 

Nutrikosmetik adalah produk atau bahan yang digunakan dalam bentuk supplemen untuk penjagaan kecantikan kulit, kuku dan rambut. Ia berbeza dengan kosmetik di mana ia perlu dihadam untuk mendapat kebaikan dan khasiatnya. Contoh supplemen kecantikan yang terkenal di negara kita ialah seperti K-Colly Sweet 17 Collagen dan Halo Beauty. Persoalannya, adakah supplemen kecantikan PERLU DIAMBIL atau TIDAK?

 

 

Bagi saya, bergantung kepada keperluan dan status kewangan masing-masing. Kenapa saya berpendapat PERLU AMBIL supplemen? Ini sebabnya..

 

1.   Kekurangan vitamin dalam pemakanan seharian

 

Dalam zaman moden kini, ‘instant’ food atau makanan segera menjadi pilihan orang ramai terutamanya kanak-kanak. Apabila sibuk dan penat bekerja, agak sukar untuk cari masa untuk menyediakan makanan yang sihat. Akhirnya, kita memilih makanan segera kerana lebih pantas disediakan dan tidak kurang enaknya.

 

Dan kadangkala, makanan yang kita fikir seimbang berkemungkinan sebenarnya tidak cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Jadi jangan hairanlah jika kita dah mengamalkan pemakanan yang sihat dengan tambahan pemakaian produk kosmetik sekalipun, tetapi masalah yang dihadapi masih tidak dapat diselesaikan.

 

Kemungkinan besar, makanan merupakan ‘culprit’ utama seperti yang dikatakan oleh mat saleh ‘You are what you eat’. Oleh itu, salah satu cara untuk melengkapkan pemakanan seharian adalah dengan pengambilan supplemen dengan kuantiti yang cukup.

 

2.   Pentingnya kesihatan perut & proses penuaan

 

Pernahkah kamu dengar ‘Perut manusia itu punca segala penyakit?’ Seperti yang diketahui, perut merupakan organ yang penting dalam badan manusia yang berfungsi untuk menyimpan, menghadam makanan dan sebagainya. Oleh itu, jika diisi dengan makanan yang tidak sihat, kamu akan mendapat risiko yang tinggi untuk menghidapi penyakit-penyakit kronik seperti kanser dan masalah jantung.

 

Supplemen seperti probiotik dan prebiotik sangat bagus untuk kesihatan perut dan juga kecantikan! Bila perut kamu sihat, maka lebih mudah untuk segala nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh badan diserap ke dalam usus. Proses penuaan juga turut memainkan peranan yang besar kerana semakin meningkat umur, semakin lemah badan manusia untuk memperbaiki sel-sel yang rosak. Dengan supplemen, ia dapat membantu meningkatkan sistem imun dan juga bertindak sebagai anti-penuaan. Senang kata, kalau kesihatan terjaga, kecantikan pasti terserlah.

 

Dan kenapa pula TIDAK PERLU?

 

1.   ‘Overclaim’ atau tuntutan yang berlebihan

 

Tuntutan atau ‘claim’ adalah merujuk kepada mesej yang diletak pada packaging produk tentang khasiat dan kebaikan pengambilan produk tersebut. Isu ‘overclaim’ seperti penggunaan perkataan dapat ‘merawat’, ‘menyembuh’ adalah sangat serius kerana Lembaga Iklan Ubat (LIU) telah melarang penggunaan perkataan tersebut dan seumpama dengannya dalam mana-mana iklan.

 

Walaupun supplemen bukan ubat, tetapi ia di bawah pengurusan National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) atau dikenali sebagai Bahagian Regulatori Farmasi Negara. Oleh itu, kamu perlu berhati-hati dalam memilih supplemen yang bersesuaian dan pastikan ia berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Lebih bagus jika kilang supplemen tersebut juga mematuhi Good Manufacturing Practice (GMP).

 

2.   Kekurangan kajian saintifik & terdapat kesan sampingan supplemen kecantikan

 

Walaupun dengan hanya menjual supplemen kecantikan mampu menjadikan pengusaha tempatan di Malaysia menjadi jutawan, data-data untuk menyokong kepentingan supplemen dalam kehidupan seharian tidak begitu kukuh. Kerana asasnya supplemen ini dibuat daripada pelbagai jenis vitamin (multivitamin) atau tumbuh-tumbuhan di mana sumber ini boleh didapati dari pengambilan makanan yang seimbang sahaja.

 

Selain itu, pengambilan kadar dos supplemen yang melebihi dos yang disyorkan boleh memberi kesan sampingan yang buruk untuk jangka masa yang panjang. Adalah penting juga untuk kamu tahu bahawa sesetengah supplemen mempunyai interaksi antara supplemen dan juga ubat-ubatan yang telah dipreskripsikan oleh doktor.

 

3.   Mahal 

 

Jika kamu perasan harga supplemen yang dijual di farmasi, tiada yang betul-betul murah. Paling murah pun mungkin supplemen yang mempunyai dos yang rendah atau untuk kanak-kanak. Oleh kerana supplemen ini bersifat lebih ‘natural’, ia perlu diambil secara berterusan. Jika pengambilan tidak konsisten, kamu tidak akan dapat hasilkan yang kamu inginkan dan kekalkan kesan tersebut untuk jangka masa yang lama. Jadi ‘maintenance’ untuk membeli supplemen memerlukan status kewangan yang stabil.

 

Perselisihan pendapat tentang keperluan supplemen kecantikan ini masih lagi hangat diperdebatkan sehingga kini. Walaupun begitu, masih banyak kajian juga yang membenarkan pengambilan supplemen untuk kecantikan dan kesihatan.

 

Jadi, ini nasihat pada mereka yang ingin memulakan pengambilan supplemen:

 

 

Amalkan gaya hidup sihat seperti kerap bersenam dan ambil makanan yang seimbang dan berkhasiat kerana pengambilan supplemen semata-mata tidak dapat membantu kamu untuk mendapatkan hasil kecantikan yang kamu idamkan.

 

Maklumkan pada doktor tentang pengambilan supplemen kamu kerana dikhuatiri terdapat interaksi antara ubat dan supplemen yang kamu ambil.

 

Berbincang dengan doktor atau pakar nutrisi untuk mengetahui lebih mendalam tentang pengambilan supplemen yang sesuai dengan masalah yang kamu hadapi.

 

Pada masa yang sama, janganlah terlalu obses untuk mendapatkan kulit yang ‘flawless’ atau rambut yang cantik. Kerana akhirnya, kecantikan yang hakiki bukan terletak pada kecantikan wajah dan pakaian seseorang, tetapi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu yang dimilikinya. (Hamka)

 

Love, Ruzanna Zulkifli!

 

 

 

 

 

POST A COMMENT

Click to access the login or register cheese